Jakarta: Bantuan luar bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan dan tanah yang meluas, termasuk sokongan daripada Malaysia, perlu menunggu sehingga republik itu mengisytiharkannya bencana nasional.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Dudung Abdurachman berkata Indonesia belum membuat pengisytiharan sedemikian memandangkan kerajaan masih berupaya menangani krisis itu menggunakan sumber tempatan.
"Buat masa ini, kita masih berupaya. Negara kami masih berupaya, seperti yang saya katakan sebelum ini, Malaysia ada menawarkan bantuan, sekiranya diisytiharkan sebagai bencana nasional, bantuan itu akan dihulurkan.
"Ini bukan soal bantuan semata-mata, tetapi terdapat juga banyak cabaran teknikal di lapangan, termasuk pengagihan bahan api dan isu logistik yang lain," katanya pada sidang media pada Isnin.






