SHAH ALAM: Polis Selangor menyiasat dakwaan individu menyamar sebagai juruiring atau Aide-de-Camp (ADC) kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada Pejabat Kawalan Keselamatan Sultan Selangor, Istana Mestika berhubung dakwaan penyalahgunaan gambar baginda menerusi hantaran oleh pemilik akaun media sosial Threads, dwan_hamid.
“Hantaran tersebut mendakwa terdapat seorang lelaki yang mengaku sebagai ADC kepada Raja Muda Selangor dan menggunakan gambar baginda bagi memperdaya orang awam dalam urusan pembelian rumah dan kenderaan serta disyaki mengambil wang.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.










