LANGKAWI - Seorang lelaki direman bagi membantu siasatan berhubung hantaran karikatur didakwa menghina polis di media sosial baru-baru ini.Permohonan reman ke atas lelaki tempatan berusia 50 tahun itu dibenarkan selama dua hari ketika permohonan dibuat di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu.Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah dalam kenyataan berkata, pada 25 Oktober 2026, pihaknya menerima satu laporan polis berhubung hantaran yang tular di media sosial berhubung kes terbabit.Menurutnya, hantaran tersebut memaparkan karikatur dua imej lelaki berpakaian seragam polis, mengenakan solekan serta membawa beg tangan wanita di hadapan sebuah lapangan terbang dengan meletakkan satu ayat ‘tak tau nak nangis ker or nak gelak’."Hasil semakan mendapati, sebanyak 38 laporan polis diterima dari lain-lain negeri berhubung insiden sama," katanya.Siasatan membabitkan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.Susulan itu, pada 27 Oktober 2026, polis Kedah membuat tangkapan ke atas lelaki itu di Presint 2, Putrajaya.Dalam tangkapan tersebut, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk membuat hantaran jelik ke media sosial."Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang komen, spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam."Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang bertindak luar batasan, melanggar undang-undang atau cuba menimbulkan provokasi sehingga menggugat keamanan negara," katanya.