JOHOR BAHRU – Hanya RM100. Itu harga dipercayai dibayar seorang lelaki warga Filipina untuk mendapatkan kad pengenalan (MyKad) bagi membolehkannya bekerja di sebuah kilang percetakan kad permainan di Kawasan Perindustrian MIEL, Pasir Gudang di sini.

Bagaimanapun tindakan lelaki berusia 20 tahun itu terbantut apabila dia antara 36 warga asing yang dikesan disyaki menyalahgunakan kad pengenalan palsu atau milik orang lain untuk mendapatkan pekerjaan menerusi Ops Jejak 1.0 Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara (Operasi), Sarinah Apisah berkata, operasi bermula pukul 10 pagi itu dilaksanakan selepas risikan selama sebulan bagi mengesan kegiatan penyalahgunaan dokumen pengenalan diri dalam kalangan pekerja asing.