PETALING JAYA: Kumpulan Affin (Affin) melakar pencapaian membanggakan apabila perkhidmatan perbankan swastanya, Affin Diventium Private Banking diiktiraf sebagai Bank Swasta Cemerlang Asia Pasifik pada Anugerah Kekayaan Global Private Banker International 2026.

Pengiktirafan serantau itu diraih hanya dalam tempoh dua tahun selepas pelancarannya, sekali gus mencerminkan kejayaan strategi kumpulan dalam menyediakan penyelesaian kewangan khusus untuk pemilik perniagaan, usahawan dan keluarga berbilang generasi.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, kejayaan tersebut memberi keyakinan kepada kumpulan untuk terus memperkukuh kedudukan dalam sektor perbankan swasta bertaraf premium.