JOHOR BAHRU – Operasi Pembenihan Awan (OPA) menggunakan lapan tan garam menerusi pesawat C-130 Hercules milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaksanakan bagi membantu mengurangkan kepekatan jerebu yang melanda Johor.
Operasi itu memberi tumpuan kepada dua kawasan utama iaitu Yong Peng hingga Machap serta Mersing hingga Kota Tinggi bagi merangsang pembentukan hujan yang diharapkan dapat membantu memperbaiki kualiti udara di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, Ling Tian Soon berkata, operasi berkenaan merupakan usaha bersama beberapa agensi bagi menangani masalah jerebu yang boleh menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
“Operasi berkenaan adalah misi ke-61 dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) serta No. 20 Skuadron TUDM.








