SHAH ALAM: Kerajaan masih menyalurkan peruntukan kepada penduduk Parlimen Petaling Jaya meskipun bekas Ahli Parlimennya, Lee Chean Chung meletakkan jawatan semalam.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, peruntukan berkenaan disalurkan kepada rakyat menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Katanya, penduduk Petaling Jaya masih boleh mengemukakan permohonan termasuk bantuan dan sumbangan kepada ICU Selangor.

“Ahli Dewan Undangan Negeri dalam kawasan Petaling Jaya pun boleh tolong rakyat kawasan Petaling Jaya. Jadi tidak perlu risau susulan peletakan jawatan (Chean Chung),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Madani Kita Bersama-Sama Komuniti Kota Anggerik, di sini hari ini.