PETALING JAYA: Perkhidmatan van perantara T851 percuma antara KL Sentral dan Bangunan Parlimen akan beroperasi mulai 5 Oktober hingga 22 Disember ini sempena pembukaan Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15.

Rapid KL berkata, perkhidmatan berkenaan menawarkan pilihan perjalanan yang mudah kepada orang ramai yang mempunyai urusan di Bangunan Parlimen, sekali gus membolehkan pengguna merancang perjalanan dengan lebih lancar dan selesa.

Katanya, perkhidmatan T851 beroperasi dari Isnin hingga Jumaat, bermula pukul 7 pagi hingga 8 malam.

“Kekerapan van adalah setiap 30 minit pada waktu puncak iaitu dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi serta 4 petang hingga 8 malam.

“Manakala, kekerapan adalah setiap 60 minit di luar waktu puncak mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.