SUNGAI PETANI – Seorang lelaki warga emas yang dikhuatiri hilang selepas kereta dipandu terjunam ke dalam sungai di Jalan Lubuk Segintah-Lubuk Kawah, Bukit Selambau, dekat sini, malam tadi merancang untuk berkahwin pada Disember ini.

Menurut Mohd Noor Mat Yusof, 43, kejadian berlaku ketika bapanya, Mat Yusof Hashim, 77, dalam perjalanan pulang ke rumah di Felda Teloi Timur selepas berkunjung ke rumah ahli keluarga bakal isteri di Sidam Kanan, dekat sini.

Dia berkata, bapanya pada petang semalam memaklumkan mahu bertemu keluarga bakal isteri untuk berbincang beberapa perkara berkaitan perkahwinan mereka yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Bapa keluar dari rumah sebelum waktu asar menaiki kereta Proton Wira dan sempat berpesan kepada anak sulung saya, Mohd. Aiman Affandi, 17, yang tinggal bersamanya sejak kematian ibu lebih lapan bulan lalu supaya tidak menunggu kerana kemungkinan dia akan balik lewat.