MELAKA – Keprihatian rakyat negara ni tanpa mengira kaum tampil membantu menghulurkan sumbangan kepada seorang bayi lelaki yang menghidap leukemia menyentuh hati penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd. Noor Helmy Abdul Halim.

Hanya sejam selepas kisah Muhammad Fyrraz Haydar Abdul Fattah yang berusia lapan bulan itu dikongsi di media sosial milknya, sumbangan sebanyak RM55,000 berjaya dikumpul sehingga kutipan terpaksa ditutup.

Mohd. Noor Helmy berkata, bayi tersebut memerlukan RM61,000 bagi menjalani pemindahan sum sum tulang di sebuah pusat perubatan dan keluarganya menerima bantuan awal RM30,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sebelum ini.

Mereka bagaimanapun masih memerlukan RM31,000 lagi lalu beliau mengambil inisiatif berkongsi kisah bayi Fyrraz bagi mendapatkan bantuan orang ramai.