am@hmetro.com.my
Melaka: Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halim sebak melihat keprihatinan rakyat pelbagai bangsa tampil membantu seorang bayi lelaki, Muhammad Fyrraz Haydar Abdul Fattah yang menghidap leukemia.
Lebih menyentuh hati, hanya sejam selepas kisah bayi berusia lapan bulan itu dikongsikan di media sosialnya, sejumlah RM55,000 berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan orang ramai sehingga kutipan berkenaan terpaksa ditutup.
Mohd Noor Helmy berkata, bayi itu memerlukan RM61,000 bagi menjalani pemindahan sum sum tulang di sebuah pusat perubatan dan keluarga bayi terbabit sebelum ini menerima bantuan awal RM30,000 daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).










