TANGKAK: Majlis Amanah Rakyat (MARA) memerlukan 180 hari untuk mengadakan sesi libat urus bersama pakar bagi merangka model penubuhan Hospital MARA pertama di negara ini.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata sesi berkenaan turut membabitkan bekas pelajar MARA yang kini berkecimpung dalam pelbagai sektor industri bagi menyumbang idea serta kepakaran dalam merangka model hospital berkenaan.

"Hospital MARA adalah pelengkap kepada keseluruhan ekosistem kesihatan MARA, jadi kita beri tempoh 180 hari untuk perkongsian idea. Penubuhan Hospital MARA bukanlah imaginasi kosong atau sekadar impian untuk melihat sebuah bangunan hospital tersergam.

"Bagi kami, ia sebaliknya pelengkap kepada ekosistem pendidikan, latihan dan keusahawanan. Dalam bidang kesihatan pula, saya melihat MARA sebagai institusi yang sudah mempunyai kelengkapan infrastruktur dan prasarana yang memungkinkan kita melangkah ke tahap lebih tinggi bagi merealisasikan agenda penubuhan hospital ini," katanya.