KUALA LUMPUR – Seramai 3,085 ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) dan anak-anak warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima manfaat Program Kemahiran Keluarga Tentera (K²T) yang membuka peluang menjana pendapatan tambahan menerusi latihan kemahiran praktikal.

Sejak peluncuran K²T oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Julai 2025 sebagai salah satu inisiatif Kementerian Pertahanan melalui Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (Yayasan LTAT), sebanyak 113 kursus telah dan dijadual dilaksanakan sehingga November 2026 menerusi rangkaian Kolej Komuniti di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan LTAT, Datuk Dr Nizar Sudin berkata, program dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti itu bertujuan memperkasa kemahiran, mengembangkan potensi diri serta membuka ruang keusahawanan kepada keluarga warga ATM.