Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, memaklumkan hasil bedah siasat bayi berusia 10 bulan yang meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh. (Gambar PDRM)TASEK GELUGOR: Bayi lelaki berusia 10 bulan yang meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh di rumahnya di Tasek Gelugor, Isnin lepas disahkan mengalami kecederaan kepala akibat trauma daya tumpul, berdasarkan hasil bedah siasat.

Ketua Polis Seberang Perai Utara, Anuar Abdul Rahman, berkata doktor yang menjalankan bedah siasat mengesahkan kecederaan berkenaan boleh membawa maut.

"Pemeriksaan perubatan mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan kepala yang konsisten dengan trauma daya tumpul, namun doktor tidak dapat menentukan sama ada kecederaan itu disebabkan oleh kemalangan atau perbuatan orang lain serta berapa kali impak berlaku," katanya ketika dihubungi Bernama.