LONDON: Arsenal berdepan tamparan menjelang aksi Liga Juara-Juara menentang Lille apabila Piero Hincapie dan Martin Zubimendi mengalami kecederaan ketika menjalani sesi latihan tambahan selepas kemenangan 2-1 ke atas Leeds United, Sabtu lalu.
Pengendali Arsenal, Mikel Arteta, mengakui kejadian itu sesuatu yang luar biasa sepanjang tujuh tahun dirinya mengendalikan kelab berkenaan.
Kedua-dua pemain kini diragui untuk diturunkan dalam pertembungan menentang Lille awal pagi esok, sementara menunggu keputusan pemeriksaan lanjut bagi menentukan tahap kecederaan masing-masing.
Hincapie, 24, dimasukkan pada minit ke-82 ketika Arsenal menewaskan Leeds, manakala Zubimendi, 27, tidak diturunkan dalam perlawanan berkenaan.









