KUALA LUMPUR: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merekodkan sebanyak 24,631 tindakan Notis Penolakan Masuk (NTL) serta 707 tangkapan bagi pelbagai kesalahan imigresen sepanjang tahun ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata angka berkenaan mencerminkan usaha penguatkuasaan berterusan dalam menangani isu ketidakpatuhan imigresen dan memperketat kawalan keselamatan sempadan negara.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius isu kemasukan tanpa kebenaran serta keberadaan warga asing tanpa izin yang berpotensi mengancam keselamatan negara dan ketenteraman awam.
"Sehubungan itu, KDN bersama semua agensi barisan hadapan, termasuk AKPS, melaksanakan strategi kawalan imigresen secara menyeluruh merangkumi peringkat pra-kemasukan, kemasukan dan pasca-kemasukan," katanya.








