KANSER hati sering dikaitkan dengan pengambilan alkohol secara berlebihan, namun hakikatnya penyakit itu turut mengancam individu tidak pernah mengambil minuman beralkohol.

Lebih membimbangkan, kanser hati boleh berkembang tanpa gejala ketara pada peringkat awal, sekali gus menyebabkan seseorang hanya menyedari keadaan mereka apabila penyakit sudah berada pada tahap lebih serius.

Di Malaysia dan negara-negara Asia lain, jangkitan hepatitis B kronik merupakan antara faktor risiko utama kanser hati.

Menurut penyelidik dalam Program Penyelidikan Advanced Management of Liver Malignancies (Liver-ENRICH) di Pusat Kanser Tun Abdullah Ahmad Badawi, Universiti Sains Malaysia, Prof. Madya Dr. Nor Hazwani Ahmad, virus berkenaan boleh berada dalam tubuh selama bertahun-tahun tanpa menunjukkan tanda jelas hingga menyebabkan ramai individu tidak menyedari mereka dijangkiti.