GEORGE TOWN – “Daniesha beritahu mahu keluar memancing. Tak sangka ini kali pertama dan terakhir untuknya.”
Itu luahan pilu seorang ibu, Masniezar Ahmad, 44, yang tidak menyangka hasrat anaknya, Daniesha Hana Mohd. Hairul, 20, untuk keluar memancing bersama seorang rakan lelaki malam tadi menjadi pertemuan terakhir mereka.
Lebih meruntun hati, wanita itu berkata, anaknya sulung daripada enam beradik itu selama ini tidak pernah melakukan aktiviti tersebut dan hanya memaklumkan perkara itu kira-kira pukul 8 malam semalam.
“Saya dapat tahu kemalangan berlaku dari pak su (bapa saudara mangsa) kira-kira pukul 4 pagi tadi selepas dia melihat satu siaran langsung di TikTok yang memaparkan kejadian tersebut di lokasi kejadian.










