KUALA LUMPUR – My E.G. Sdn. Bhd. (MYEG) dan Zetrix AI Berhad masih belum menjelaskan tunggakan bayaran kepada kerajaan selepas lebih dua minggu perkhidmatannya sebagai ejen pemungut hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) digantung.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, setakat hari ini bayaran berkenaan masih belum diterima pihak kementeriannya.

“Dari segi pembayaran, ia masih belum lagi,” katanya ringkas pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Projek Pengindahan Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Masjid Jamek, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Anthony memberi jaminan penggantungan perkhidmatan MYEG tidak menimbulkan masalah kepada pengguna kerana terdapat saluran lain untuk melakukan urusan berkaitan JPJ.