Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan 15 pegawai penguat kuasanya serta tujuh yang lain merayu di Mahkamah Rayuan di sini, hari ini, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan mereka membayar ganti rugi RM160,000 kepada peguam dan aktivis, Siti Kasim.

Ia berhubung dakwaan penangkapan salah terhadap Siti Kasim ketika menghadiri acara persendirian di sebuah hotel pada 2016.

Rayuan itu berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 18 Julai tahun lalu yang membenarkan saman sivil difailkan Siti Kasim berhubung dakwaan penangkapan salah dan penahanan secara tidak sah ketika majlis makan malam kutipan derma di hotel berkenaan.

Mahkamah Tinggi mendapati Siti Kasim atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim berjaya membuktikan dakwaannya atas imbangan kebarangkalian bahawa beliau ditahan dan dipenjarakan secara salah oleh pegawai JAWI ketika keluar dari dewan acara itu.