KUALA LUMPUR: Persahabatan yang terjalin sejak puluhan tahun lalu menjadikan hubungan Aunty Elen, penduduk lama Duyong, Melaka, dengan jiran berlainan kaum sebahagian daripada kehidupan hariannya.

Kisah itu dikongsikan menerusi video yang dimuat naik penyandang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy, di media sosial.

Dalam video berkenaan, Aunty Elen menceritakan kenangannya bersama rakan-rakan yang pernah berkongsi pelbagai pengalaman dengannya, termasuk makan bersama, berkongsi rahsia dan berbaik semula selepas berselisih faham.

"Lama dah, masa aku kahwin datang sini dah 50 tahun," katanya ketika menceritakan tempoh menetap di kawasan berkenaan.