PETALING JAYA: Seramai 32 warga asing ditahan selepas pihak berkuasa membongkar kegiatan sindiket pelaburan yang beroperasi di sebuah rumah inap desa di Klebang Kechil, Melaka sejak tiga bulan lalu.

Mereka terdiri daripada 31 warga China dan seorang wanita Taiwan berusia 20 hingga 51 tahun.

Turut ditahan dua lelaki tempatan berusia 22 dan 32 tahun, yang berperanan sebagai penjaga premis dan penghantar makanan dengan upah sebanyak RM3,000.

Operasi kira-kira pukul 10.35 pagi Khamis lalu, digerakkan oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Imigresen dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta JIM Negeri Melaka.