IPOH: Menamatkan penantian 36 tahun Malaysia untuk kembali menggondol emas acara regu berpasukan lelaki Sukan Asia menjadi detik paling manis dan bermakna buat apit kiri negara, Amirul Zazwan Amir sepanjang kariernya bersama skuad kebangsaan.

Pemain berusia 31 tahun yang mesra disapa 'Ayong' itu berkata, kejayaan bersejarah pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 berkenaan turut menjadi pembakar semangat untuk terus mengekalkan prestasi terbaik dan membantu Malaysia memburu lebih banyak kejuaraan selepas ini.

"Saya memang amat mengidamkan pingat emas Sukan Asia. Apabila kita berjaya menamatkan penantian selama 36 tahun ini, ia menjadi satu sejarah yang sangat bernilai buat diri saya.

"Bagi saya, pingat emas ini juga membuktikan skuad kali ini antara yang terbaik pernah dibentuk dalam sejarah sepak takraw negara," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengenalan Pemain dan Pelancaran Jersi Rasmi Perak Bison 2026, di sini, hari ini.