SEMBILAN emas dibawa pulang dari Sukan Asia 2026 Aichi-Nagoya yang menyamai pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah Sukan Asia selepas 16 tahun bukanlah noktah buat kontinjen negara.

Sebaliknya, ia bakal menjadi landasan untuk kontinjen negara mengejar dua misi lebih besar iaitu bergelar juara keseluruhan Sukan SEA 2027 dan memburu emas pertama Olimpik di Los Angeles 2028 (LA28).

Kontinjen negara menutup tirai Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dengan sembilan emas, tujuh perak dan 16 gangsa, sekali gus melepasi sasaran awal enam emas serta menyamai rekod terbaik sembilan emas yang dicatatkan pada edisi Guangzhou 2010.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin menyifatkan pencapaian itu sebagai petunjuk positif bahawa pembangunan sukan berprestasi tinggi negara berada pada landasan tepat, namun menegaskan kejayaan di Jepun perlu menjadi pemangkin dan bukannya alasan untuk berpuas hati.