Pada hari akhirat kelak, hanya mereka yang diizinkan Allah SWT sahaja yang akan dapat memberi syafaat, seperti mana firman-Nya: "Pada hari itu, tidak berfaedah syafaat (daripada dan kepada sesiapa pun) kecuali daripada orang yang diizinkan oleh Allah yang melimpah-limpah rahmat-Nya dan kepada orang yang diredai perkataannya." (Taha: 109)

Selain anbia AS, terdapat beberapa hadis menyatakan secara umum mengenai orang beriman yang diizinkan oleh Allah SWT untuk memberi syafaat. Pertama, daripada Anas bin Malik RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ada seorang lelaki yang akan dapat memberi syafaat kepada dua atau tiga orang." (Riwayat al-Bazzar dengan sanad hasan)

Kedua, daripada Abdullah bin Abi al-Jad'a' RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Nescaya akan dapat masuk ke syurga dengan syafaat seorang lelaki daripada umatku, jumlah bilangan orang yang lebih ramai daripada keturunan Bani Tamim." Sahabat bertanya: "(Adakah orang itu) selain dirimu, wahai Rasulullah?" Baginda menjawab: "(Ya,) selain diriku." (Riwayat Ahmad, ad-Darimi, Ibnu Majah dan at-Tirmizi, katanya: Hasan sahih gharib)