TAWAU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengarahkan tindakan lebih proaktif diambil bagi menangani gangguan bekalan air di Tawau, termasuk mempergiat penghantaran air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas.

Arahan itu dibuat selepas Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan membangkitkan isu berkenaan dalam Mesyuarat Kabinet Negeri, Rabu lalu.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, masalah bekalan air akibat cuaca kering dan kekurangan hujan berpanjangan perlu diberi perhatian serius kerana menjejaskan keperluan harian penduduk.

"Susulan itu, Ketua Menteri Sabah mengarahkan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah supaya Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Tawau mengambil tindakan lebih proaktif, termasuk mempergiat penghantaran bekalan air menggunakan lori tangki ke kawasan terjejas," katanya dalam kenyataan, hari ini.