KUALA LUMPUR: Malaysia muncul sebagai pasaran paling menyerlah di Asia Tenggara apabila merekodkan 38 penyenaraian syarikat dengan kutipan dana berjumlah AS$1.62 bilion (RM7.6 bilion) dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sekali gus mengatasi prestasi negara lain di rantau ini ketika aktiviti pasaran modal serantau menunjukkan penyusutan.

Pencapaian itu menyaksikan kutipan dana melalui tawaran awam permulaan (IPO) di Malaysia meningkat 63.7 peratus berbanding AS$992 juta dalam tempoh sama tahun lalu, walaupun jumlah syarikat yang disenaraikan hanya bertambah satu kepada 38 berbanding 37 pada 2025.

Ernst & Young (EY) dalam laporan EY Global IPO Trends: Q3 2026 berkata, prestasi itu mencerminkan peningkatan nilai modal yang berjaya diraih syarikat tempatan melalui pasaran ekuiti selain menunjukkan minat pelabur yang berterusan terhadap syarikat berpotensi pertumbuhan dan mempunyai asas perniagaan kukuh.