PELABUHAN KLANG: Malaysia perlu beralih daripada sekadar mengendalikan peningkatan jumlah kargo kepada usaha menjana nilai ekonomi yang lebih besar menerusi pelabuhannya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, aspirasi negara adalah untuk memperkukuh kedudukan sebagai hab logistik global dengan menarik aktiviti yang mampu mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta membangunkan kepakaran tempatan.
"Pelabuhan Klang sahaja mengendalikan rekod sebanyak 15.1 juta unit setara 20 kaki (TEU) tahun lalu dan berada dalam senarai 10 pelabuhan kontena tersibuk di dunia.
"Langkah seterusnya ialah memanfaatkan kekuatan itu dengan meraih lebih banyak nilai yang mengalir melalui pelabuhan kita, bukan sekadar mengira jumlah kargo semata-mata," katanya berucap pada majlis perasmian Pusat Pengedaran Global Daiso, di sini hari ini.








