KUALA LUMPUR: CIMB menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus pada Mac 2027, berbanding unjuran terdahulu yang menyaksikan kadar itu kekal pada 2.75 peratus sehingga suku ketiga tahun depan.
Unjuran baharu itu mengambil kira jangkaan peningkatan inflasi teras kepada sekitar 2.5 peratus pada suku ketiga 2027, sekali gus mengukuhkan alasan untuk BNM menarik balik pengurangan kadar faedah yang dilaksanakan pada Julai 2025 sebelum tekanan harga menjadi lebih ketara.
Menurut laporan penyelidikan ekonomi CIMB Treasury and Markets Research, kenaikan OPR yang dijangkakan itu bersifat langkah awal bagi menangani potensi tekanan inflasi, meskipun kadar inflasi semasa masih terkawal.









