PETALING JAYA: Jumlah dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan oleh Barisan Nasional (BN) kepada MCA dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak selari dengan komposisi etnik pengundi Cina di negeri itu.

Penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Mohd Yusri Ibrahim berkata, secara umumnya komposisi pengundi etnik Cina di Melaka adalah sekitar 30 peratus dan MCA adalah parti yang mewakili segmen pengundi Cina dalam BN.

“Dibenarkan bertanding hanya dua kerusi iaitu hanya tujuh peratus daripada keseluruhan 28 kerusi, atau hanya sembilan peratus daripada 21 kerusi yang ditandingi BN mungkin dianggap kecil dan tidak munasabah oleh MCA.

“Apatah lagi lawan utama mereka iaitu DAP diberi sehingga tujuh kerusi oleh PH untuk ditandingi, bahkan PKR juga menamakan calon etnik Cina mereka,” kataya menerusi hantaran dalam Facebook, hari ini.