KUCHING: Sebanyak RM9 juta diperuntukkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bagi subsidi pemeriksaan mamogram yang dijangka memanfaatkan hampir 40,000 wanita di seluruh negara, tahun depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata peruntukan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menggalakkan lebih ramai wanita menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kanser payudara.
Beliau berkata, kerajaan berharap lebih ramai wanita memanfaatkan inisiatif itu untuk menjalani ujian saringan awal kanser payudara.
"Untuk tahun depan, seramai 38,000 wanita (di seluruh negara) akan mendapat manfaat subsidi ini dan dianggarkan 9,000 daripadanya adalah di Sarawak," katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Bulan Kesedaran Kanser Payudara Peringkat Negeri Sarawak 2026 di Padang Merdeka, di sini, hari ini.









