Kuala Lumpur: Kuching City berdepan jalan berliku menjelang pertemuan menentang wakil Korea Selatan, Gangwon FC dalam saingan Liga Juara-Juara Asia II (ACL II) selepas beberapa pemain dilaporkan mengalami kecederaan, sekali gus menjejaskan usaha wakil negara itu memburu tiga mata penuh pada Khamis ini.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak berkata, beberapa pemain masih belum pasti dapat diturunkan kerana belum cergas sepenuhnya dan senarai pemain yang mengalami kecederaan itu dijangka bertambah.

Katanya, pemain sayap pasukan berkenaan, Safawi Rasid antara yang terbaharu mengalami kecederaan selepas aksi separuh akhir pertama menentang Selangor FC pada Jumaat lalu dan kemungkinan besar terlepas aksi di tempat lawan nanti.