KUALA LUMPUR: Perbelanjaan makan di luar menjadi penyumbang utama kepada peningkatan keseluruhan perbelanjaan isi rumah di Malaysia antara 2022 hingga 2024, dengan purata perbelanjaan bulanan bagi kategori itu mencecah RM902.70, mengatasi perbelanjaan makanan yang disediakan di rumah.
Perkembangan itu menyaksikan perbelanjaan makan di luar meningkat sebanyak RM78.20 dalam tempoh dua tahun berkenaan, lebih tinggi berbanding pertambahan RM61.70 bagi perbelanjaan perumahan, menurut laporan terbaharu Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).
Laporan From Income to Wellbeing: The State of Households 2026 itu menunjukkan perbelanjaan makan di luar merangkumi 16.2 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah pada 2024, berbanding 15.7 peratus atau RM875.80 sebulan bagi makanan di rumah.









