BATU PAHAT: Warga emas, Ab. Shukor Athan, 68, yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 107 Lebuhraya Utara-Selatan, di sini semalam sempat membuat panggilan video menyuruh semua anaknya pulang sejurus kejadian itu berlaku.
Anak sulung arwah, Mohd. Zaharudin Ab Shukor, 45, berkata, bapanya membuat panggilan video menerusi kumpulan WhatsApp keluarga memaklumkan mengenai kemalangan dan meminta anak-anaknya pulang.
Dia yang bekerja sebagai tukang masak di Singapura berkata, arwah sempat memberitahu mengenai kemalangan berkenaan sebelum memintanya dan adik-beradik lain pulang.
Mohd. Zaharudin memberitahu, suara bapanya tidak kedengaran dengan jelas menerusi panggilan video tersebut.








