Kangar: Perlis menjadi negeri pertama mewajibkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) sebagai syarat permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan bagi penjaja di seluruh negeri itu dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, kerjasama menerusi pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Perbandaran Perlis (MPPs) itu bertujuan memastikan penjaja mendapat perlindungan sewajarnya.

"Matlamatnya ialah untuk memastikan mereka mempunyai perlindungan sekiranya berlaku sebarang kemalangan semasa pergi dan balik atau ketika menjalankan perniagaan.

"Penjaja merupakan golongan berisiko yang kebanyakannya belum mempunyai perlindungan insurans, sedangkan mereka bergantung pada pendapatan harian untuk menyara keluarga," katanya pada sidang media selepas majlis pemeteraian MoU antara Perkeso dan MPPs di sini hari ini.