KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai 10 akta yang menjadi asas perundangan bagi mengawal selia isu pendanaan awam, namun dilihat masih tidak menyeluruh serta mempunyai kelompangan yang membuka ruang kepada salah laku, penyelewengan serta penyalahgunaan dana tanpa mekanisme kawal selia yang berkesan.

Perundangan sedia ada ini dilihat masih gagal menangani secara menyeluruh kelemahan sistem pendanaan awam, khususnya dari segi ketelusan sumber dana, akauntabiliti penerima sumbangan dan penguatkuasaan terhadap salah guna dana.

Lebih serius, empat perundangan ini dilihat begitu lapuk kerana sebahagiannya wujud sebelum era kemerdekaan negara lagi.

Ia adalah Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan di Jalan 1947 (Akta 200) diwujudkan bagi mengawal selia aktiviti memungut wang atau barang; Akta Syarikat Amanah 1949 (disemak 1973) (Akta 100) untuk mengawal selia syarikat amanah; dan Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952 (Akta 258), untuk mengawal selia pendaftaran pemegang amanah, manakala Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971 (Akta 28) pula bertujuan melarang aktiviti wang kutu.