KUANTAN - Pesakit pertama Spinal Muscular Atrophy (SMA) di negara ini yang berjaya menamatkan semua peringkat pengajian tinggi di universiti yang sama, Dr Siti Hawa Apandi meninggal dunia hari ini.Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dalam hantaran di Facebook menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Siti Hawa, 37, yang merupakan alumni universiti itu daripada Fakulti Komputeran.Allahyarham juga merupakan penerima Malaysia Book of Records (MBR) yang diiktiraf sebagai "First Spinal Muscular Atrophy (SMA) Patient to Complete Continuous Higher Education Studies From Single University"."Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," menurut hantaran itu.Sebelum ini, media melaporkan Allahyarham disahkan menghidap penyakit genetik jarang jumpa SMA sejak zaman kanak-kanak yang menyebabkan fungsi ototnya merosot secara progresif sehingga terpaksa bergantung sepenuhnya pada kerusi roda.Bagaimanapun, keterbatasan fizikal itu langsung tidak mematahkan semangatnya apabila Siti Hawa mula mendaftar di UMPSA pada 2007 untuk pengajian peringkat diploma dan meneruskan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, diikuti Ijazah Sarjana Sains Komputer, sebelum berjaya menggenggam Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kepintaran Buatan (AI).Sepanjang hayatnya, kecemerlangan akademik Siti Hawa turut diiktiraf menerusi beberapa anugerah berprestij termasuk Heitech Industry Excellence Award 2013 dan Anugerah Kecemerlangan Inklusif Abdullah Bin Ummi Maktum ketika pengajian PhD.Siti Hawa dimasukkan ke hospital pada tahun lepas akibat jangkitan bakteria dan menghabiskan kira-kira 50 hari di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan, di sini.Allahyarham meninggal dunia di kediamannya, di sini hari ini. - Bernama