KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu membantu lebih ramai rakyat Malaysia mencapai simpanan persaraan yang mencukupi dengan menyesuaikan diri terhadap perubahan corak pekerjaan di samping terus memberikan pulangan yang mampan, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, harapan KWSP selepas ulang tahun ke-75 penubuhannya perlu melangkaui usaha memperbesarkan saiz dana itu, sebaliknya menjadi institusi yang lebih relevan, inklusif dan memberikan impak dan pada masa sama terus berpegang kepada tanggungjawab terasnya untuk melindungi simpanan persaraan ahli.

Berucap pada Majlis Makan Malam Gala sempena ulang tahun KWSP ke-75 di sini, malam tadi, katanya institusi persaraan moden perlu melihat ahli bukan sahaja sebagai pencarum tetapi sebagai individu yang mempunyai aspirasi dan tanggungjawab.