KUALA LUMPUR – Strategi kerajaan dalam mempelbagaikan portfolio pelaburan baharu dan memantapkan kerangka pengurusan risiko Tabung Haji (TH) antara yang bakal dibincangkan pada hari pertama Mesyuarat Ketiga bagi Penggal Kelima Parlimen ke-15 hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, soalan mengenai kelestarian dana TH itu diajukan oleh Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) kepada Perdana Menteri pada sesi Soal Jawab Lisan.
Beliau ingin tahu langkah kerajaan bagi menjamin kelestarian dana institusi berkenaan agar dapat terus membantu meningkatkan kemampuan rakyat menunaikan ibadah haji.
Selain itu, soalan berhubung keselamatan rakyat Malaysia di luar negara turut menjadi perhatian apabila Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan langkah kerajaan memperketat sistem pendaftaran rakyat yang melancong atau berada di luar negara.








