PORT DICKSON – Kegembiraan melihat penyu karah kembali bertelur di pantai daerah ini bertukar hampa selepas sarang yang ditemui sudah berlubang dengan telurnya dilarikan di Pantai Tanjung Gemuk, di sini.

Ranjer penyu, Hishamudin Abd Manap, 56, berkata, ia merupakan kejadian pertama sepanjang dia berkhidmat sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia sentiasa me­lakukan rondaan bagi mengesan kehadiran penyu dan sarang baharu di beberapa lokasi pantai sekitar Port Dickson.

“Antara kawasan yang dipantau ialah Pantai Tanjung Gemuk, Pantai Pejabat Daerah, Pantai Bagan Pinang dan sekitar Pantai Avillion.

“Setiap hari bermula April hingga Disember, saya akan membuat pemantauan untuk melihat kesan trek penyu naik ke pantai sebelum mencari lokasi sarang untuk dipasang pancang dan ditanda,” katanya yang mempunyai pengalaman 25 tahun.