Sebuyau: Kelibat seekor buaya dipercayai membawa sesuatu di dalam mulutnya membawa kepada penemuan mayat remaja lelaki berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang akibat dibaham reptilia itu di Ulu Sungai Plaie, di sini.
Mangsa, Mohd Nordin Mohd Othman, ditemukan dalam keadaan tidak sempurna kira-kira 800 meter dari jeti Kampung Tuba, jam 8 malam tadi.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, penemuan itu susulan maklumat penduduk Kampung Tuba yang terlihat seekor buaya dipercayai membawa sesuatu di dalam mulutnya kira-kira jam 6 petang.
Ketika itu, penduduk terbabit dalam perjalanan pulang selepas menziarahi keluarga mangsa di Kampung Plaie.









