KUALA LUMPUR: Kerjasama lebih erat antara institusi pengajian tinggi (IPT) dan majikan perlu diperkukuh bagi merapatkan jurang kemahiran kecerdasan buatan (AI) serta memastikan graduan memenuhi keperluan industri.

Naib Presiden APAC Pearson Enterprise Learning and Skills, Craig McFarlane, berkata kajian bersama Pearson dan Amazon Web Services (AWS) mendapati wujud jurang antara persepsi pelajar dengan keperluan majikan berhubung kesiapsiagaan graduan menghadapi dunia pekerjaan berasaskan AI.

Menerusi laporan AI Readiness: Building the Bridge from Higher Education to Work in Malaysia itu, 77 peratus pelajar di Malaysia percaya mereka bersedia memasuki alam pekerjaan, namun 69 peratus majikan menyatakan kesukaran mendapatkan graduan dengan kemahiran AI yang bersesuaian sebagai cabaran utama.