KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan penyediaan kemudahan kolej kediaman sekurang-kurangnya 70 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar prasiswazah sepenuh masa secara fizikal di universiti awam menjelang 2035.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, sasaran itu digariskan menerusi Dasar Kemudahan Kolej Kediaman di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) yang dibangunkan pada November 2024.

Beliau berkata, dasar berkenaan dibangunkan hasil kerjasama KPT dengan Majlis Perumahan Universiti-Universiti Malaysia (MAPUM) serta sesi libat urus bersama pemimpin mahasiswa.

“Pembangunan dasar ini turut disusuli garis panduan yang diedarkan kepada semua universiti awam bagi meneliti keperluan semasa masing-masing,” katanya.