KUALA PILAH – Masalah anjing liar yang berkeliaran di sekitar pekan Dangi di sini, bukan sahaja mengganggu penduduk, malah didakwa menjadi antara punca kemalangan terutama membabitkan penunggang motosikal.

Seorang penduduk, Amir Fai­sal Mohammad Fazli, 32, berkata, dia menyaksikan kira-kira 10 kemalangan berlaku dipercayai akibat anjing liar sejak setahun membantu bapa saudaranya berniaga di sebuah kedai di pekan berkenaan.

Katanya, kejadian itu berlaku tidak kira siang atau malam apabila anjing berkeliaran dan melintas jalan secara tiba-tiba.

“Masalahnya bukan anjing mengganggu orang, tetapi apabila terlalu banyak berkeliaran, ia boleh menyebabkan kemalangan.

“Ada juga anjing yang cedera atau mati akibat dilanggar ken­deraan, manakala bagi orang pula ada yang mengalami patah kaki dan kecederaan pada bahagian muka,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini, baru-baru ini.