KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) belum menerima sebarang aduan berhubung dakwaan layanan kasar dan arahan berbogel terhadap aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak, ketika berada dalam tahanan polis awal tahun lalu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata tiada aduan berkaitan dakwaan itu diterima IPCC setakat 25 September lalu.

Beliau berkata, Akta Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis 2022 (Akta 839) mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2023 dan sejak penubuhannya, IPCC menerima aduan menerusi pelbagai saluran.

"Bagaimanapun, setakat 25 September lalu, IPCC tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan layanan kasar dan arahan berbogel di hadapan tahanan lain ke atas aktivis, Tamim Dahri semasa dalam tahanan lokap," katanya.