KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri bakal kembali bergandingan selepas tiga tahun membawa haluan masing-masing apabila diberi peluang membuktikan kemampuan dalam tiga kejohanan di India bermula bulan depan.
Gandingan yang diberi julukan 'Patatimo' kerana masing-masing berasal dari Terengganu dan Kelantan itu akan memulakan ujian di Kejohanan Antarabangsa Syed Modi bertaraf Super 300 dari 24 hingga 29 November, sebelum meneruskan cabaran dalam dua kejohanan Super 100, masing-masing Masters Guwahati (1 hingga 6 Disember) dan Masters Odisha (8 hingga 13 Disember).
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, ketiga-tiga kejohanan itu akan menjadi medan penilaian untuk melihat keserasian serta prestasi kedua-dua pemain sebelum keputusan mengenai masa depan gandingan berkenaan dibuat.









