PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuat keputusan menyatukan semula gandingan beregu lelaki, Wan Arif Wan Junaidi dan Muhammad Haikal Nazri bagi mengharungi tiga kejohanan berturut-turut di India, bermula bulan depan.
Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, keputusan itu dibuat selepas menilai kualiti individu kedua-dua pemain berkenaan selain mengambil kira status mereka sebagai pemain paling senior dalam kelompok percubaan ketika ini.
Sebelum ini, Arif pernah digandingkan bersama Yap Roy King dan Kang Khai Xing, namun Herry berpandangan tidak salah untuk menguji kembali keserasian gandingan yang pernah terkenal dengan julukan ‘Patatimo’ itu kerana masing-masing berasal dari Terengganu dan Kelantan.









