ALOR GAJAH – Barisan Nasional (BN) yakin tidak akan berlaku pertembungan kerusi dengan PAS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka susulan kesepakatan yang dicapai oleh kedua-dua pihak.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata keputusan menjadikan PAS sebagai rakan strategik BN telah dimuktamadkan dalam mesyuarat peringkat tertinggi semalam yang turut memutuskan kedua-dua pihak akan melancarkan manifesto bersama.

“Semalam kita adakan mesyuarat di peringkat tertinggi dan telah memutuskan rakan strategik kita ialah PAS. Kita juga bersepakat supaya semua gerak kerja berjalan bersama dan berkongsi manifesto.

“Jadi saya rasa tidak mungkin kita akan bertembung (calon), kerana situasi di Melaka tidak sama dengan di Johor dan Negeri Sembilan. Di Melaka kita ibarat bernikah dan berkadi, kalau bercerai pun ada talak,” katanya.