Kuching: Polis tidak menemukan bukti unsur buli dalam kes pelajar lelaki berusia 16 tahun yang mencederakan seorang guru menggunakan kapak di sebuah sekolah swasta di sini, 21 Oktober lalu.
Pemangku Pesuruhjaya Polis Sarawak, Deputi Komisioner Saifullizan Ishak berkata, siasatan kes itu sudah dilengkapkan dan kertas siasatan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya Sarawak pada 26 Oktober lalu.
Bagaimanapun katanya, keputusan lanjut masih menunggu penelitian pihak pendakwaan serta laporan psikiatri forensik terhadap suspek.
"Laporan psikiatri forensik penting bagi membantu menentukan keadaan mental suspek ketika kejadian termasuk sama ada tindakannya dilakukan dalam keadaan sedar atau di luar kawalan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, di sini, hari ini.








