Kuala Lumpur: Kerajaan membayar RM42.5 bilion bagi memenuhi hutang dan komitmen syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), setakat 31 Ogos lalu.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, baki komitmen Sukuk Islam dan Nota Jangka Sederhana (MTN) yang dijamin kerajaan adalah RM8.9 bilion, terdiri daripada prinsipal RM5 bilion dan faedah RM3.9 bilion sehingga matang pada 2039.

Katanya, keseluruhan tanggungan yang sudah dibayar dan masih perlu dibayar sebanyak RM51.4 bilion.

"Selepas mengambil kira pemulihan dana dan aset berjumlah RM31.3 bilion, beban bersih kepada kerajaan dianggarkan sebanyak RM20.1 bilion," katanya ketika Sesi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.